KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membina 16 rumah di Gua Musang dan sembilan di Ketereh dengan perbelanjaan sebanyak RM1 juta untuk mangsa banjir yang hilang kediaman.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata pembinaan rumah kekal fasa pertama itu adalah melalui sumbangan Tabung Amanah Bencana Banjir yang ditubuhkan kerajaan negeri ini pada 29 Disember lalu. "Daripada maklumat terkini, sebanyak RM4,774,000 dikumpulkan melalui tabung berkenaan. Oleh sebab itu kerajaan bersedia untuk membina rumah kekal yang pertama yang akan dilancarkan di Gua Musang sebanyak 16 dan di Ketereh sembilan dengan perbelanjaan RM1 juta," katanya pada sidang akhbar mengenai tabung berkenaan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Ahmad berkata, kerajaan juga mengenal pasti tanah seluas 3.6 hektar di Manek Urai, Kuala Krai untuk dibina 150 rumah kekal dengan kos RM6 juta yang dibiayai kerajaan Selangor.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui ketua jajahan juga sedang mengenal pasti rumah untuk disewa selama tiga bulan bagi dijadikan kediaman sementara kepada mangsa banjir.
Sementara itu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti sejumlah 56,472 ketua isi rumah yang terbabit dengan banjir bagi menerima bantuan sekali bayar RM500 daripada kerajaan persekutuan.
Beliau berkata, senarai akhir ketua isi rumah itu akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pembayaran dibuat.
Ahmad berkata, beliau bersama timbalannya serta anggota Exco kerajaan negeri akan menyumbang sebulan gaji kepada Tabung Amanah Bencana Banjir berkenaan manakala Ahli Dewan Undangan Negeri akan menyumbang sebulan elaun.
Beliau mengalu-alukan dermawan untuk sama-sama menyumbang kepada tabung berkenaan
No comments:
Post a Comment